mutakhir

Wanita mengaku salah kali kedua ingkar PKP

Oleh Mohd Khidir Zakaria

WANITA yang ditahan kali kedua antara tujuh individu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh pertama, Haslinda Sulaiman, 25, yang kini menganggur dan rakannya, Mohd Helmi Hasmuni, 33, bekerja sebagai buruh kontrak dikenakan hukuman penjara empat hari dari tarikh tangkapan pada 17 April lalu.

Kedua-dua tertuduh didenda sebanyak RM1,000 atau 14 hari penjara jika gagal membayar denda dan mereka membayar denda itu.

Haslinda ditangkap kali kedua dalam tempoh dua minggu PKP dilaksanakan dan turut didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah pada tangkapan kali pertama.

Lima lagi tertuduh termasuk dua wanita dan remaja turut mengaku bersalah atas kesalahan sama dan didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Mereka adalah G Vinoth Kumar, 43, bekerja sebagai buruh kontrak, Reika Ratnam, 40, sebagai penulis blog, Jamil Majid, 30, pengawal keselamatan, dan R Vijayakaran, 36, yang bekerja sebagai pemandu bas serta pelajar berusia 16 tahun.

Semua tertuduh membayar denda RM900 dan penjara empat hari mulai tarikh ditangkap pada 17 April lalu, manakala Jamil dikenakan denda RM1,000 dan penjara empat hari mulai tarikh ditangkap pada 18 April lalu.

Manakala sebutan semula kes bagi pesalah juvana itu ditetapkan pada 19 Mei depan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 7:58pm
    d