mutakhir

Hasil kerja pelbagai pihak turunkan kadar kes Covid-19

Oleh Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

"KEJAYAAN ini (penurunan kes Covid-19) hasil barisan hadapan dan perancangan yang rapi dengan cepat dan tepat di mana hasil hari ini adalah perancangan dua ke empat minggu sebelumnya," kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen dan lain-lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang tampil membantu kejayaan ini.

“Dalam tempoh dua minggu lagi apa yang kita rancang hari ini hasilnya akan dilihat dalam tempoh itu dan sebab itu penting untuk rakyat Malaysia bersama KKM serta kerajaan menjayakannya dan memutuskan rantaian Covid-19," katanya pada sidang media harian di KKM, Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai bekalan peralatan perlindungan diri serta penutup hidung dan mulut jenis N95 di hospital di Kuching, Sarawak, beliau berkata, ia khas untuk penggunaan warga KKM dan barisan hadapan yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad pesakit Covid-19.

"Bagi mereka yang bukan di wad Covid-19 boleh menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapis.

"Tidak ada masalah menggunakan penutup hidung dan mulut tiga lapis kerana N95 perlu dijimatkan untuk mereka yang perlu di wad pesakit Covid-19 dan ICU.

"Tetapi kalau tidak ada N95, boleh guna penutup hidung dan mulut tiga lapis untuk yang bekerja di klinik dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melihat masalah penggunaan peralatan terbabit dan N95 akan diagihkan di Sabah serta Sarawak tidak lama lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 20, 2020 @ 9:16pm
    d