mutakhir

Akur tiada program mantai sambut Ramadan

Oleh Mohd Amin Jalil

“WALAUPUN agak janggal, kami akur tiada aktiviti mantai dapat dibuat menjelang Ramadan kali ini kerana apa yang lebih penting adalah keselamatan dan nyawa orang ramai,” kata Rosli Jamlus.

Tradisi mantai atau melapah daging lembu adalah amalan Adat Perpatih turun-temurun dilakukan penduduk di Negeri Sembilan setiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri.

Menjelang Ramadan dijangka disambut Jumaat ini, penduduk negeri ini akur tiada aktiviti mantai seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Rosli, 61, yang juga penternak lembu berkata, mantai cukup sinonim dengan masyarakat di negeri ini dan aktiviti itu menarik kunjungan ramai, bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat, malah dari luar negeri ini.

“Saya antara peserta menyediakan bekalan daging lembu setiap kali mantai diadakan.

“Lazimnya program Mantai Perdana diadakan menjelang Aidilfitri, namun aktiviti itu dilakukan setiap kali menyambut Ramadan.

“Orang ramai suka membeli daging lembu atau ayam pada program mantai kerana harganya lebih murah kerana program itu mendapat sokongan kerajaan negeri,” katanya di Seremban, hari ini.

Rosli yang berkecimpung dalam sektor penternakan lembu lebih 15 tahun berkata, untuk kali ini, dia menggunakan kaedah pesanan dalam talian dan penghantaran kepada mereka yang ingin mendapatkan bekalan daging tempatan segar.

“Setakat ini, sambutan masih memberangsangkan dan banyak pesanan diterima dan kami akan mula membuat penghantaran daging pada Rabu dan Khamis ini,” katanya.

Sementara itu, Reduan Zamri, 34, berkata suasana suram dapat dirasakan di setiap pelusuk negeri ini berikutan tiada aktiviti mantai dapat dijalankan.

Usahawan penternakan itu berkata, masyarakat akur dengan keadaan semasa dan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa.

“Bagaimanapun, orang ramai boleh mendapatkan bekalan daging dan ayam atau barangan lain untuk menyambut Ramadan, Jumaat ini, di Pasar Segar Terkawal (PST) yang diuruskan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Saya hanya dapat membekalkan daging menerusi PST selain menerusi tempahan dalam talian. Suasana mantai tidak dapat dinikmati seperti lazimnya setiap kali menjelang Ramadan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 3:09pm
    d