mutakhir

Kedah cadang longgar PKP mengikut zon

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

KERAJAAN dicadang memberi kelonggaran secara berperingkat mengikut zon kes Covid-19 dalam usaha memperluaskan perkhidmatan penting dan aktiviti ekonomi rakyat di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga mula menampakkan hasil apabila tiada kes baharu dicatatkan di negeri ini.

Katanya, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk membuka beberapa kawasan yang tidak mempunyai kes Covid-19 terutama bagi sektor perniagaan, sekiranya PKP diteruskan ke fasa keempat.

“Bagaimanapun, saya tegaskan kelonggaran ini tidak bermakna rakyat bebas bergerak dan kita masih tidak benarkan solat tarawih di masjid, bazar Ramadan atau majlis membabitkan perhimpunan diadakan.

“Kelonggaran ini mungkin boleh diberi kepada perniagaan boleh membuka kembali kedai dan sekatan pergerakan dilonggarkan sedikit bagi membolehkan orang ramai menyelesaikan urusan mereka.

“Pelaksanaannya boleh dimulakan mengikut kawasan yang dikategori sebagai zon hijau dan kuning terlebih dahulu, namun rakyat masih perlu mematuhi syarat PKP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berdasarkan rekod, Kedah mencatat 14 hari ketiadaan kes baharu Covid-19 kecuali pada Rabu lalu, membabitkan seorang pesakit yang baharu pulang dari luar negara dan masih dirawat sehingga kini.

Dr Ismail berkata, rakyat Kedah bagaimanapun tidak lagi boleh ‘bergembira’ kerana Covid-19 masih lagi menjadi pandemik di negara ini dan usaha memutuskan rantaian wabak itu perlu terus dilakukan.

“Di Kedah kita juga tidak sekat semua perkara, contohnya kita sudah benarkan solat di masjid membabitkan tiga jemaah dan majlis akad nikah juga boleh dibuat, tetapi hanya membabitkan pihak tertentu sahaja.

“Saya berharap jangan pula ada mereka yang berasal dari Kedah, tetapi menetap di negeri lain seperti Selangor pulang menyambut Ramadan ketika ini kerana bimbang berlaku jangkitan baharu Covid-19.

“Sebaiknya semua pihak menunggu keputusan kerajaan sebelum membuat tindakan yang boleh menyebabkan usaha mengawal wabak ini menjadi tidak berbaloi,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 3:58pm
    d