mutakhir

Bersih kubur sebagai senaman ringan

Oleh Siti Rohana Idris

DUA beradik dari Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, memanfaatkan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan membersihkan tanah perkuburan terletak di hadapan rumah mereka.

Nik Zulqurnain Nik Mustapha, 43, dan Nik Zul Ihsani, 39, melakukan rutin harian selama sejam itu sejak hampir sebulan lalu memandangkan kedua-duanya tidak dapat keluar bekerja.

Nik Zulqurnain berkata, setiap pagi atau petang, mereka akan ke Tanah Perkuburan Islam Surau Banggol untuk membersihkan kawasan itu termasuk membakar daun kering.

“Rutin ini kami lakukan di awal PKP. Kami membersihkan semak di sekitar kubur memandangkan waris tidak dapat menziarah kerana PKP.

“Kami juga mengupah orang untuk meracun tumbuhan meliar bagi memastikan kawasan perkuburan ini terjaga,” katanya ditemui di lokasi.

Menurutnya, rutin itu akan terus dilakukannya jika PKP dilanjutkan.

Katanya, apa yang mereka lakukan hanya sebagai tanggungjawab sesama Islam selain memudahkan tugasan orang lain.

“Apa yang kami lakukan ini tidaklah seberapa, ia boleh dianggap sebagai senaman ringan.

“Paling penting, kawasan kubur bersih memandangkan waris tidak sempat datang untuk membersihkan kubur keluarga masing-masing,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 21, 2020 @ 5:16pm
    d