mutakhir

Pasar borong Wakaf Che Yeh hilang kemeriahan [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

LAZIMNYA beberapa hari menjelang Ramadan, suasana di pasar borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, meriah dengan peniaga yang mulai ‘memacak’ khemah dan gerai masing-masing.

Situasi itu boleh dilihat di sepanjang 500 meter laluan memasuki ke tapak pasar borong manakala di bahagian dalam pula deretan kanopi sudah bersedia dengan jualan aneka keperluan untuk Ramadan termasuk Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun kemeriahan itu tidak dilihat kini malah destinasi membeli-belah itu kelihatan suram tanpa hiruk-pikuk peniaga apabila kira-kira 150 premis merangkumi 14 blok di tapak perniagaan itu tidak beroperasi sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengurus tapak pasar borong terbabit, Wan Othman Wan Ismail berkata, kebiasaannya beberapa hari sebelum Ramadan, peniaga mulai memasukkan barang jualan ke lot perniagaan masing-masing manakala bagi penjaja pula memasang khemah.

“Pada hari biasa kira-kira 1,000 tapak jualan disediakan dan bagi Ramadan pula, ia mencecah 1,200 termasuk penjaja makanan, minuman serta keperluan Aidilfitri seperti pakaian dan aksesori.

“Biasanya dua minggu sebelum Ramadan, permohonan mendapatkan tapak niaga sudah dibuat dan sebaik diluluskan serta permit diperoleh, peniaga akan menyerahkan wang pendahuluan tapak sebanyak 10 peratus.

“Tapi situasi berbeza berlaku kali ini dan ia memang mencatat sejarah buat kami termasuk pengunjung yang mana destinasi membeli-belah yang wujud sejak 1998 ini seolah-olah ‘ghaib’ disebabkan Covid-19,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hasil tinjauan yang dilakukan di pasar borong itu mendapati hanya pasar basah dan beberapa premis saja masih beroperasi di tapak pasar borong seluas kira-kira 5.68 hektar itu termasuk bank, klinik, farmasi kedai serbaneka dan sebuah kedai runcit.

Turut terdapat sebuah kanopi yang ditumpang peniaga beras, Mohd Sulaiman Mohamad, 55, yang menjaja sejak lima tahun di sekitar pasar borong terbabit

Mohd Sulaiman berkata, pada Ramadan, kebiasaannya jam 3 petang suasana meriah akan mula dilihat kerana peniaga sudah memulakan operasi dan pengunjung juga semakin membanjiri.

“Kesesakan jalan raya juga akan berlaku sehingga satu kilometer malah pengunjung juga saling berebut tempat parkir.

“Bagaimanapun suasana itu tidak akan dirasai kali ini dan sudah pasti satu kejanggalan buat semua memandangkan pasar borong Wakaf Che Yeh tidak pernah ‘tidur’ dan sunyi dari kehadiran pengunjung,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 1:07pm
    d