mutakhir

Aktiviti masjid di Perlis ditunda hingga 31 Mei

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SOLAT jumaat, tarawih dan sebarang aktiviti pengimarahan masjid termasuk majlis iftar di Perlis ditangguhkan sehingga 31 Mei hadapan.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memberi perkenan kepada perkara itu melalui surat kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 17 April lalu.

Titah baginda, keputusan itu dibuat selepas melihat dan mengamati senario semasa wabak virus Covid-19 dan pelbagai usaha dilakukan pihak berwajib bagi memutuskan rangkaian penularan wabak berkenaan.

“Bagaimanapun sekiranya penularan wabak Covid-19 ini dapat dibendung dan diatasi dalam tempoh lebih awal, maka satu titah baharu akan dikeluarkan,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Sementara itu, Mohd Asri berkata, langkah menunda aktiviti masjid itu diambil sebagai salah satu usaha memastikan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Tindakan pelanjutan ini adalah bertepatan dengan ‘maslahah aamah’ supaya dapat mengelakkan gelombang kedua Covid-19 daripada melanda negeri ini.

“Panduan kepada masyarakat dalam melaksanakan ibadah, khususnya dalam bulan Ramadan bakal dikeluarkan untuk dijadikan rujukan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 1:22pm
    d