mutakhir

Melaka benar majlis pernikahan bersyarat

Oleh Amir Mamat

JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM) membenarkan majlis akad nikah pengantin Islam dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, bagaimanapun kebenaran itu terikat dengan syarat serta kawalan ketat oleh pihak berkuasa agama terbabit.

Beliau berkata, bagi memastikan semua majlis akad nikah dilaksanakan dengan lancar dan mengikut peraturan, JAIM menyediakan satu garis panduan khas wajib dipatuhi pasangan pengantin serta ahli keluarga mereka.

Katanya, garis panduan berkuat kuasa hari ini adalah bagi melaksanakan upacara pernikahan bagi umat Islam di Melaka sepanjang tempoh PKP dan dalam tempoh tiga bulan selepas PKP tamat.

“JAIM menegaskan bahawa keutamaan bernikah hanya akan diberi kepada pasangan sudah mendapat kebenaran berkahwin dan Catatan Daftar Perkahwinan daripada Pejabat Agama Islam Daerah dalam negeri Melaka sebelum tempoh PKP bermula.

“Selain itu keutamaan turut diberikan kepada pasangan mempunyai alasan munasabah atau mendesak serta diberi kebenaran khas oleh JAIM.

“Kebenaran mengadakan majlis akad nikah dalam tempoh PKP dan selepas tiga bulan tempoh PKP ditamatkan adalah satu langkah untuk mencegah perkara boleh membawa kerosakan dan keburukan (saddu al-zarai’e ).

“Bagaimanapun, keperluan mengadakan akad nikah ini hendaklah mengikut arahan pemerintah dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Md Azhan berkata, antara syarat lain ditetapkan adalah premis upacara pernikahan dibenarkan sama ada di Pejabat Agama Islam Daerah atau mana-mana lokasi ditentukan JAIM.

Beliau berkata, premis tempat akad nikah hendaklah di disinfeksi mengikut tatacara disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dan selepas majlis diadakan.

“Majlis akad nikah hanya akan diadakan pada tarikh, hari dan waktu ditetapkan JAIM, manakala setiap pasangan hendaklah mematuhi jadual majlis akad nikah ditetapkan oleh jabatan.

“JAIM boleh membatalkan majlis akad nikah sekiranya wali dan pasangan pengantin gagal hadir pada tarikh, hari dan masa ditetapkan,” katanya.

Md Azhan berkata, tetamu dibenarkan hadir pula terdiri daripada Pendaftar Nikah Cerai Rujuk Kanan atau mana-mana jurunikah ditetapkan, wali, pengantin lelaki dan perempuan serta dua saksi terdiri daripada pegawai JAIM.

Beliau berkata, surat Perakuan Nikah Sementara akan dikeluarkan serta-merta kepada pasangan sudah bernikah dan surat itu bersifat sementara dan sijil nikah hanya dikeluarkan selepas PKP tamat.

“Pasangan atau seorang daripada mereka perlu hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah tempat pasangan bernikah selepas tempoh PKP tamat dengan membawa bayaran RM70 serta gambar berukuran pasport bagi tujuan proses pendaftaran nikah dan kad nikah.

“Pelepasan daripada balai polis berdekatan diperlukan bagi pasangan pengantin berada melebihi radius 10 kilometer (km) dari tempat nikah pasangan pengantin dan ahli keluarga yang berada di luar radius 10km dari tempat akad nikah dijalankan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 2:48pm
    d