mutakhir

Nak nikah je boleh 'call'

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) meminta kerjasama supaya hanya pasangan yang layak memohon kebenaran khas akad nikah menghubungi jabatan itu untuk mendapatkan penjelasan mengenai urusan pernikahan.

Unit Korporat JAIS menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman sosial Facebook memaklumkan, jabatan itu menerima kadar panggilan sangat tinggi sejak proses berhubung kebenaran khas akad nikah dibuka pada Isnin lalu.

Menurut kenyataan itu, JAIS turut menerima panggilan tinggi daripada orang awam membabitkan perkara-perkara yang tiada kaitan dengan kebenaran khas akad nikah.

“Ini menyebabkan kesukaran kepada pasangan yang ingin berhubung dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kebenaran khas akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, bagi melancarkan permohonan akad nikah dengan kebenaran khas ini, JAIS memohon kerjasama semua pihak untuk memberikan laluan kepada pasangan yang layak memohon serta mempunyai alasan yang munasabah.

“Sekiranya anda memerlukan khidmat nasihat bagi perkara-perkara lain selain yang dinyatakan seperti kursus pra perkahwinan, anda boleh mengirim emel pertanyaan kepada skk@jais.gov.my,” katanya.

Menerusi hantaran itu, JAIS turut meletakkan syarat yang melayakkan pasangan memohon kebenaran khas iaitu sudah mendapat kebenaran berkahwin daripada JAIS atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN); keputusan ujian saringan HIV; perintah wali hakim, bawah umur, janda berhias (jika berkaitan) serta visa berdasarkan surat pengesahan pas daripada Jabatan Imigresen (jika berkaitan).

Jelasnya, pasangan perlu memastikan kesemua dokumen berkenaan masih sah untuk digunakan untuk melayakkan mereka memohon kebenaran khas akad nikah.

“Jika dokumen-dokumen berkaitan sudah tamat tempoh, pasangan berkenaan tidak layak untuk memohon kebenaran khas itu,” katanya.

Isnin lalu, JAIS membenarkan majlis akad nikah dalam tempoh PKP melalui sidang video dengan syarat mendapat kelulusan khas daripadanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 4:30pm
    d