mutakhir

Tajamkan kemahiran gesek biola ketika PKP

Oleh Hassan Omar

PENGGESEK biola kumpulan dondang sayang terkenal di Melaka mengisi waktu terluang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menajamkan kemahiran menggesek alat muzik berkenaan.

Selain menggunakan waktu untuk menelaah kitab agama, Md Jais Othman, 61, menjadikan biola kesayangannya sebagai teman mengubati kerinduan membuat persembahan kebudayaan dan menghiburkan pengunjung majlis perkahwinan.

Dia yang sudah menggesek biola sejak berusia 10 tahun itu duduk di wakaf di halaman kediamannya di Kampung Londang, Masjid Tanah, sambil mengalunkan muzik lagu Melayu asli.

“PKP membuatkan saya amat merindui saat membuat persembahan kebudayaan bersama kumpulan Hiasan Budaya Tangga Batu di merata-rata tempat, terutama di bandar raya Melaka, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain.

“Begitu juga persembahan pada majlis perkahwinan yang sudah hilang sejak PKP dilaksanakan dan saya berdoa semoga Allah menurunkan rahmat-Nya menamatkan wabak itu menjelang Ramadan lusa,” katanya.

Md Jais yang mencari rezeki dengan menggunting rambut di kedainya berhampiran Balai Polis Masjid Tanah di pekan berkenaan, mewarisi bakat bapanya, Allahyarham Othman Derauf yang pernah menganggotai beberapa kumpulan muzik Melayu asli dan dondang sayang.

Katanya, ketika berusia 10 tahun, dia diajar menggesek biola buluh kerana bunyinya tidak sekuat biola biasa dan sesuai untuk didengar telinga sendiri tanpa mengganggu orang lain.

“Bagaimanapun, seperti legenda penggesek biola, Allahyarham Hamzah Dolmat, saya tidak tahu membaca note muzik, sebaliknya menggesek biola seperti apa disebut dalam kalangan ahli muzik sebagai ‘by heart not by note’ atau dengan degupan jantung, bukan dengan note.

“Keindahan sesuatu muzik Melayu asli itu diukur daripada pelbagai aspek termasuklah ‘lagi lambat muzik itu beralun, maka lagi baiklah muzik atau lagu asli itu’,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 4:50pm
    d