mutakhir

Macam-macam alasan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

HANTAR wang untuk bayaran judi, bagi kek kepada tunang dan serah tayar motosikal, antara alasan diberikan tujuh lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua lelaki berusia antara 22 hingga 36 tahun itu masing-masing dihukum penjara empat hari dan denda RM1,000 oleh Majistret Nordiana Abd Aziz selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap tuduhan.

Mahkamah mengarahkan hukuman penjara bermula pada tarikh mereka ditangkap iaitu pada semalam dan hukuman penjara ditambah sebulan lagi sekiranya gagal menjelaskan denda.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Datuk Fariz Irwan Mustafa dan Mohd Asaari Salleh.

Terdahulu, Lee memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana menganggap alasan diberi mereka tidak munasabah.

“Dua tertuduh (Muhammad Ashraf Mat Ali, 30, dan Mohd Fakruk Mukhri Che Anang, 36,) sebenarnya boleh menghantar wang pada waktu yang dibenarkan, memandangkan kita berada dalam PKP yang sudah masuk fasa ketiga.

“Kenapa perlu memilih untuk menghantar wang (kepada rakan dan penyedia pinjaman) dan pada waktu malam sedangkan semua orang sudah tahu mereka tidak boleh keluar rumah selepas 8 malam.

“Bagi tertuduh (Mohd Syafiq Al Hanif Mohd Zamri, 22) yang memberi alasan menghantar kek ke rumah tunangnya, walaupun jarak lokasi hanya dalam empat kilometer sahaja tetapi waktu dipilihnya tidak logik dan tidak sesuai. Dia boleh menangguhkan dan keluar pada waktu siang keesokan harinya,” katanya.

Peguam mewakili tertuduh memohon hukuman ringan buat anak guam mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 5:54pm
    d