mutakhir

Hanya 30 pasang tempahan baju raya

Oleh Yun Mikail

KETIBAAN Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri saban tahun pastinya menjadi lubuk rezeki berganda buat tukang jahit pakaian.

Bagaimanapun, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 dilaksanakan, tempahan baju raya dalam kalangan tukang jahit di bandar raya ini mengalami penurunan.

Tukang jahit berpengalaman, Dayang Nur’asmah Zainuddin, 31, berkata dia hanya menerima 30 tempahan menjahit baju raya setakat ini berbanding lebih 100 pasang baju tahun sebelumnya.

Katanya, kebanyakan pelanggan menghantar kain untuk dijahit beberapa minggu lebih awal sebelum pelaksanaan PKP.

“Apabila memasuki minggu pertama PKP, saya sudah tidak menerima sebarang tempahan daripada pelanggan. Hal ini mungkin disebabkan banyak kedai kain sekitar bandar raya sudah tidak beroperasi mengakibatkan orang awam sukar mendapatkan kain untuk membuat baju raya.

“Tidak dinafikan wabak Covid-19 serta PKP ini memberi impak ketara kepada tukang jahit seperti saya namun hakikatnya semua orang melalui situasi sama ketika ini,” katanya yang hanya mengambil upah menjahit baju kurung dan jubah.

Menurut Dayang Nur’asmah, setakat ini dia sudah menyiapkan lima pasang pakaian raya yang ditempah pelanggan dan mensasarkan semua tempahan siap dalam jangka masa dua minggu sebelum Aidilfitri hujung bulan depan.

Katanya, susulan penutupan premis perniagaan termasuk kedai menjual barang keperluan jahitan, dia terpaksa membuat pembelian secara dalam talian.

“Memang terdapat sedikit kesukaran kerana perlu membeli barang secara dalam talian selain terpaksa menunggu hampir seminggu untuk barang itu sampai.

“Hal ini secara tidak langsung menyebabkan proses menjahit baju pelanggan sedikit terganggu serta gagal disiapkan mengikut waktu dijanjikan.

“Namun sejak minggu lalu, saya berhubung terus dengan pemilik kedai dan cara ini lebih senang serta tidak perlu menunggu lama,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil upah menjahit antara RM55 hingga RM80 mengikut potongan serta fesyen diinginkan pelanggan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 6:27pm
    d