mutakhir

Cadang program e-mantai menjelang Aidilfitri

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KERAJAAN negeri bercadang mengadakan program e-mantai di setiap daerah menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan, sekiranya dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan.

Ini berikutan tiada mantai perdana atau mantai tradisi secara persendirian dibenarkan bagi menyambut Ramadan tahun ini sejajar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, bagi mendapatkan bekalan daging segar, orang ramai boleh membelinya di pasar awam di setiap daerah.

“Selain itu kita sudah membuka empat Pasar Segar Terkawal (PST) iaitu tiga di Seremban dan satu di Jempol.

“Program e-mantai dicadangkan itu akan memudahkan orang ramai menempah daging sebelum mengambilnya di satu pusat sehenti yang akan ditentukan kemudian.

“Bagaimanapun, kita akan melihat dahulu sama ada PKP dilanjutkan atau sebaliknya, atau ada Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu diperkenal kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bakri berkata, mantai adalah tradisi sudah diamalkan di negeri ini sejak berkurun lamanya menyebabkan ramai menjadi canggung apabila ia tidak dapat dilaksanakan pada awal puasa.

Beliau berkata, hanya di Negeri Sembilan sahaja ada aktiviti mantai dan bukan sahaja menyembelih lembu atau kerbau, malah pelbagai juadah lain seperti membakar lemang turut dilakukan penduduk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 6:37pm
    d