mutakhir

Kembar jual nasi lemak bantu ibu

Oleh Zaid Salim

KEMBAR mengambil inisiatif berniaga nasi lemak dan air kelapa di Pasar Besar Chukai, Kemaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi menampung keperluan keluarga.

Nurul Hidayahtul Afiqah Adnan, 23, dan kembarnya Nurul Syahidatul Afiqah akan bangun seawal 3 pagi untuk menyediakan keperluan berniaga yang bermula 6 pagi hingga 9 pagi.

Kata mereka, pendapatan keluarga terjejas disebabkan jualan sayur ibunya Nazawani Abd Malik, 46, tidak menentu dan ada lima adiknya yang perlu diberi makan.

“Ini sahaja yang dapat kami lakukan selaku kakak sulung untuk membantu keluarga memandangkan selama ini hanya ibu menyara kami selepas berpisah dengan ayah.

“Setiap hari kami buat 100 bungkus nasi lemak dan dapat lah untung sekitar RM50 sehari,” katanya yang ditemui.

Terdahulu, keluarga itu menerima bantuan keperluan asas daripada Repsol Oil & Gas Malaysia Limited (Repsol) di rumah mereka di Taman Seri Jaya, Kampung Gong Pauh, Chukai.

Sementara itu, Nazawani berkata, dia bersyukur kerana memiliki anak yang ringan tulang dan memahami kesusahan keluarga.

“Kalau ikutkan hasil jual sayur ini memang tak cukup untuk keperluan kami sekeluarga tetapi rezeki Allah, kami sentiasa bersyukur sama ada sedikit atau banyak,” katanya yang mendapatkan bekalan sayur di Pasar Borong Kampung Dusun Nyior sebelum menjualnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 10:02pm
    d