mutakhir

Razman masih bertugas seperti biasa

Oleh Balqis Jazimah Zahari

EXCO kerajaan negeri Perak Razman Zakaria yang disiasat polis selepas didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini masih menjalankan tugas seperti biasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, siasatan polis tidak menjejaskan tugas Razman yang memegang portfolio Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak.

“Razman boleh menjalankan tugas seperti biasa dan tidak perlu direhatkan, malah kerajaan negeri menyerahkan siasatan lanjut berhubung perkara itu kepada pihak polis.

“Kita berkeyakinan penuh dengan apa yang pihak polis lakukan. Mereka tidak akan memilih bulu dan tentunya Razman memberi kerjasama baik kepada pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan di Pusat Penempatan Gelandangan di Arena Badminton di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, bukan sahaja Exco, malah semua pihak termasuk media perlu mengamalkan penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 ketika PKP ini.

Menurutnya, ketika ini kerajaan negeri juga perlu menumpukan perhatian kepada masalah yang sedang dan akan dihadapi kerana PKP.

“Kita perlu mencari jalan bagaimana hendak memperkasakan semula ekonomi, ini perkara penting yang perlu kita fikirkan bersama dalam kerajaan negeri.

“Fokus itu diberikan secara serius, tetapi dalam masa yang sama memahami tentang keselamatan diri dan orang lain berkenaan wabak Covid-19,” katanya.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol membuat permohonan maaf secara terbuka itu menerusi akaun Facebooknya pada Ahad lalu.

Terdahulu, beberapa gambar tular menunjukkan Razman dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali sedang makan beramai-ramai di sebuah maahad tahfiz di Lenggong sehingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan warganet.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 10:22pm
    d