mutakhir

Cari jodoh musim PKP

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

ADA dalam kalangan masyarakat menggunakan waktu terluang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 'mencuba nasib' menerusi aplikasi dan portal mencari jodoh muslim Baituljannah.com.

Ini terbukti apabila jumlah portal berkenaan menerima trend peningkatan seramai 786,425 pengunjung sejak PKP bermula 18 Mac hingga kelmarin berbanding 523,598 pengunjung sebelum itu.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Baituljannah Sdn Bhd Dr Wan Hasifi Amin Wan Zaidon berkata, daripada jumlah itu, pengguna dari Johor menjadi negeri paling ramai mengunjungi portal berkenaan diikuti Selangor.

Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan pengunjung dari Johor, lebih 65 peratus adalah wanita.

Menurutnya, faktor waktu terluang ketika PKP menjadi antara faktor utama peningkatan untuk tempoh berkenaan dengan majoriti pengunjung berusia 35 hingga 44 tahun.

"Selain itu, ini menunjukkan tahap keyakinan masyarakat terhadap Baituljannah.com sebagai portal carian jodoh muslim semakin kukuh

"Bukan saja pengguna dalam negara, portal ini juga turut membantu pasangan bujang dari Singapura dan Brunei cuba mencari pasangan hidup menerusi platform digital," katanya kepada Harian Metro.

Baituljannah.com adalah platform cari jodoh muslim yang membantu meningkatkan kadar perkahwinan dalam kalangan muslim dengan 2,612 pasangan yang berkenalan melaluinya sudah melangsungkan perkahwinan.

Dr Wan Hasifi dan Baituljannah.com dipilih sebagai Forbes 30 bawah 30 Asia 2020 menerusi majalah Forbes baru-baru ini melonjakkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap portal carian jodoh berkenaan.

Katanya, Baituljannah.com mensasarkan 100,000 pasangan berkahwin melalui perkenalan di platform ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Jika angka ini tercapai bermakna Baituljannah berjaya membentuk 100,000 keluarga dan sudah tentunya secara langsung menyumbang kepada kepada pertambahan populasi seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 3:05pm
    d