mutakhir

Sedekah guna e-hailing

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

UMAT Islam digalakkan bersedekah terutama ketika Ramadan yang juga bulan sedekah dan berkongsi kegembiraan dengan sesiapa sahaja di sekeliling.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, sedekah pada bulan Ramadan ini pahalanya digandakan dan ia bukan budaya orang Melayu semata-mata tetapi seluruh umat di dunia.

Menurutnya, situasi dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) ini sedekah boleh dilakukan menggunakan perkhidmatan e-hailing dan sebagainya.

"Kita ambil alamat dan suruh mereka (penghantar makanan) hantar ke situ dan itu cara mudah bersedekah.

"Encik Ali boleh tempah nasi arab, sedekahkan kepada Ah Chong. Auntie Tan boleh tempah KFC, sedekahkan kepada Puan Wani. Encik Nordin pula boleh tempah nasi kerabu, sedekahkan kepada Uncle Muthu," katanya pada sidang media di Putrajaya, di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, cuma ingatan kepada rakyat Malaysia untuk tidak membazir, makan dan minumlah seadanya.

"Buat masa ini, tidak ada lagi Jus Tebu Kak Mah di Bazar Ramadan Taman Suria, Jitra, Martabak Pak Ali di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Bazar Ramadan di seluruh negara.

"Bagaimanapun mujur ada perkhidmatan penghantaran makanan atau e-hailing termasuk bagi restoran makanan segera, masih dibenarkan seperti biasa," katanya.

Beliau berkata, jangan pula berkumpul membeli juadah berbuka puasa kerana tidak ada gerai yang akan beroperasi.

"Mungkin Ramadan inilah waktu anda boleh mencipta menu baharu dan menikmatinya bersama keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 5:28pm
    d