mutakhir

Perlu amalkan norma budaya kehidupan baharu

Oleh Amir Abd Hamid

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dilonggarkan kepada yang diutamakan namun wajar dilanjutkan untuk sektor tertentu.

Itu pandangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Noran Naqiah Hairi.

Apa pun menurutnya, perkara penting yang perlu diketahui dan diterima masyarakat adalah corak kehidupan ketika PKP dan pasca tempoh itu akan berubah.

"Kehidupan kita tidak akan sama seperti sebelum ini. Kita perlu amalkan norma budaya kehidupan baharu.

"Ia akan kita lalui dalam tempoh masa lapan hingga 12 bulan lagi atau sehingga vaksin Covid-19 dan anti-viral terhadap virus itu sudah terbukti berkesan.

"Apa yang dimaksudkan dengan norma budaya kehidupan baharu ini adalah yang saya namakan sebagai tiga serangkai iaitu kerap membasuh tangan, penjarakan sosial serta penggunaan penutup hidung dan mulut bagi mereka yang tidak sihat," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas persoalan sama ada arahan PKP yang dilaksanakan negara dalam usaha memutuskan rantaian virus Covid-19 perlu ditamatkan atau dilanjutkan.

PKP fasa selama 14 hari ketika ini akan berakhir 28 April selepas negara melalui fasa pertama dari 18 Mac hingga 31 Mac dan fasa kedua dari 1 April hingga 14 April.

Mengulas lanjut, katanya, perkara 'tiga serangkai' dalam norma budaya kehidupan baharu adalah amat penting dan perlu disebatikan sehinggalah saintis dapat menghasilkan vaksin atau anti-viral terhadap Covid-19.

"Apa yang kita lihat sekarang adalah keberkesanan PKP selama lima minggu. Bilangan kes di negara ini menurun manakala kadar kes kematian juga tidak mendadak seperti di negara Eropah.

"Dan ini boleh diperjelaskan, demografi negara kita berbeza sebab lebih ramai warga emas di negara Eropah dan mereka adalah kumpulan berisiko tinggi. Kes pengesanan kontak yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pula amat berkesan.

Beliau berkata, fasiliti kesihatan Malaysia digunakan tidak melebihi kapasitinya sekali gus ini memberikan tahap penjagaan kesihatan yang tinggi kepada pesakit Covid-19.

Menurutnya, enam kriteria digariskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti juga jelas diikuti KKM untuk dilaksanakan di negara ini.

"Pada pandangan saya, pelonggaran PKP wajar dengan mengambil kira beberapa faktor. Jumlah kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 terus meningkat, kes baharu pula mengekalkan trend menurun dan penilaian terhadap risiko jangkitan kembali menular di negara ini sentiasa dipantau.

"Memberi kelonggaran PKP perlu digandingkan dengan budaya norma kehidupan baru. Jadi yang beragama Islam tahun ini, Ramadan akan amat berbeza sekali.Tidak boleh lagi kita berbuka puasa atau bersolat tarawih beramai-ramai. Selamat menyambut Ramadan dengan norma budaya baharu.

"Kelonggaran PKP adalah bagi membenarkan beberapa sektor industri dan perniagaan yang penting bagi ekonomi dan kehidupan awam beroperasi. Ini perlu mematuhi SOP yang ketat. Bagi yang lain PKP patut dilanjutkan," katanya.

Menurutnya, arahan PKP dilaksanakan di seluruh negara tidak boleh ditamatkan secara kadar serta-merta sebaliknya perlu berperingkat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 7:20pm
    d