mutakhir

Ayam golek laris ganti mantai

Oleh Mohd Amin Jalil

SEBAHAGIAN masyarakat di Negeri Sembilan menyambut Ramadan sekadar ala kadar susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung Covid-19.

Tinjauan di kawasan pinggir bandar Seremban mendapati tiada aktiviti mantai atau menjual daging dilakukan penternak, malah aktiviti membakar lemang tidak kelihatan walaupun semuanya adalah tradisi turun temurun masyarakat.

Penduduk terpaksa melupakan seketika untuk mendapatkan daging lembu tempatan segar seperti biasa dijual di tepi jalan, sebaliknya mereka hanya membeli di pasar raya atau kedai runcit selain menempah melalui pengusaha secara dalam talian.

Tidak kurang dalam kalangan mereka terpaksa memilih ayam bagi menggantikan daginglembu atau kerbau tempatan untuk membuat persediaan menyambut Ramadan.

Ini diakui, pengusaha ayam golek Amirul Adnan, 26, dari Kampung Sentosa Paroi, Seremban, apabila dia menerima tempahan dan pembelian luar biasa daripada penduduk tempatan bagi ayam golek diusahakan.

"Saya menerima tempahan pembelian luar biasa daripada penduduk apabila 270 ekor ayam golek terpaksa disediakan hari ini.

"Jumlah itu berbeza berbanding hari biasa sekadar 150 ekor. Pelanggan datang untuk membuat persiapan bagi menyambut Ramadan.

"Mereka memilih ayam golek kerana tiada pilihan selepas tiada kalangan pengusaha yang menjual daging sempena mantai puasa," katanya.

Amirul berkata, tempahan turut diterima daripada penduduk luar kawasan dan dia menggunakan khidmat penghantar bagi melancarkan urusan.

"Alhamdulillah, mendapat rezeki menyambut Ramadan, ada rahmat-Nya sempena PKP ini," katanya yang menetapkan harga RM16 bagi setiap ekor ayam golek itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 7:55pm
    d