mutakhir

'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni' curi perhatian PM [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling

KUMPULAN Facebook, Masak Apa Tak Jadi Hari Ni mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila menyebut mengenai akaun yang tular itu di dalam perutusan khasnya yang disiarkan secara langsung di RTM, hari ini.

Muhyiddin ketika meminta rakyat positif ketika berpuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut meminta pada suami makan masakan isteri masing-masing.

"Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook 'Masak Apa Tak Jadi Hari Ni'," katanya.

Kumpulan Facebook berkenaan tular apabila warganet berkongsi masakan yang tidak menjadi sepanjang tempoh PKP ini.

Ketika ini kumpulan itu mempunyai 1.3 juta pengikut dan menjadi bahan sindiran di media sosial kepada mereka yang tidak pandai memasak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ujian tidak dapat bersolat tarawih berjemaah di masjid boleh digunakan untuk berjemaah bersama keluarga di rumah.

"Kita lihat secara positif. Mungkin inilah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa. Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya.

"Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah.

"Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. Insya-Allah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 23, 2020 @ 10:25pm
    d