mutakhir

Suami teruja jadi imam tarawih

Oleh Amran Yahya

KALI pertama menjadi imam solat sunat tarawih menjadi pengalaman manis dan terindah, malah membuatkan ramai suami teruja.

Ini kerana, jika bukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Covid-19, sudah pasti malam tadi ramai suami masih menjadi makmum seperti tahun sebelumnya.

Cerita berhubung imam tarawih ini mula 'dibincangkan' di kalangan suami sejak beberapa minggu lalu, malah ada yang seperti 'tidak lena tidur' memikirkan hal ini.

Menurut Imam 1 Masjid Kariah Desa Anggerik, Kuala Pilah, Ustaz Mohd Rusli Ibrahim, jangan jadikan alasan tidak tahu menjadi imam untuk kita tidak melaksanakan solat sunat tarawih.

"Solat sunat terawih hanya ada di bulan Ramadan sahaja dan Allah janjikan pahala yang besar, maka rebutlah peluang untuk melaksanakannya bersama keluarga di rumah.

"Tidak perlulah kita (suami) kelam kabut menghafal banyak surah-surah lazim kerana tiada surah yang khusus yang dianjurkan untuk solat ini. Kita bukanlah memimpin ratusan jemaah dan hanya sekadar ahli keluarga sahaja.

"Sebaliknya yang lebih penting adalah mantapkan bacaan surah Al-Fatihah manakala bacalah surah lazim dan berdoalah sekadar yang kita tahu.

"Insya-Allah, saya doakan agar semua 'imam baru' akan dipermudahkan urusan untuk memimpin keluarga mereka untuk solat sunat terawih sehingga ke akhir Ramadan serta solat sunat Aidilfitri yang bakal tiba nanti," katanya.

Sementara itu, Azizee Ismail, 51, dari Kuala Pilah berkata, setelah pertama kali menjadi imam solat sunat tarawih barulah dia tahu ia bukanlah tugas yang mudah dan memerlukan keyakinan.

"Saya amat teruja menjadi imam solat sunat terawih bersama keluarga. Jika selama ini kita hanya mengikut imam, namun hari ini saya dapat merasai aura seorang seorang imam.

"Masih ada tempoh sebulan lagi dan Insya-Allah, peluang ini akan saya ambil bagi meningkatkan lagi tahap keyakinan diri serta memantapkan bacaan saya," katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Terdahulu, kerajaan mengeluarkan arahan tiada solat fardu dan tarawih berjemaah serta solat Jumaat di masjid dan surau dalam tempoh PKP dilaksanakan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 8:48am
    d