mutakhir

Buruh hina tentera kena denda [METROTV]

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BURUH pelantar ikan didenda RM1,100 oleh Mahkamah Majistret Kangar kerana mengeluarkan kenyataan jelek terhadap anggota tentera dan mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 20 April lalu.

Tertuduh, Khairol Azman Daud, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didenda RM100 kerana mengeluarkan kenyataan jelek terhadap Markus Anak Alang dengan tujuan untuk membangkitkan kemarahan dan mengganggu keamanan pada 11.45 pagi 20 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan boleh didenda tidak lebih RM100.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda sebanyak RM1,000 kerana bergerak dari Lorong 7, Fasa 2, Taman Utara Jaya, Kuala Perlis yang juga dalam kawasan tempat jangkitan dan bukan bertujuan untuk melakukan mana-mana perkara yang diperuntukkan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020).

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2020) dan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan secara berseorangan di sekatan jalan raya di Kuala Perlis pada 11.45 pagi.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying

manakala tertuduh diwakili Fatin Hayati Abd Rahman.

Jodia dalam pendakwaannya memohon agar hukuman setimpal dijatuhkan memandangkan tertuduh melakukan kesalahan dengan mengeluarkan kata-kata kesat ke atas petugas barisan hadapan.

Bagaimanapun, Fatin Hayati dalam rayuannya merayu agar hukuman minima dijatuhkan ke atas tertuduh memandangkan dia sudah mengakui kesalahannya selain mempunyai tanggungan empat orang terdiri daripada tiga anak berusia dua hingga lapan tahun, isteri dan ibu mentuanya.

Selain itu, Fatin Hayati turut memaklumkan bahawa tertuduh berjanji untuk tidak mengulangi kesalahan terbabit memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya disamping beliau mempunyai masalah jantung dan masih bergantung pada ubat khusus.

Berita berkaitan:

  • Lelaki ditahan hina tentera
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 11:54am
    d