mutakhir

Kempen perangi Covid-19

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan Kempen Memerangi Covid-19.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kempen akan dijalankan sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Katanya, masyarakat akan diberi lebih kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan kebersihan dan menggalakkan mereka terus kekal di rumah bagi mencegah penularan pandemik ini.

"Saya percaya sejak PKP berkuat kuasa, masyarakat terutamanya di Lembah Klang lebih selesa membuat pembelian menerusi aplikasi dalam talian.

"Kami akan mengedarkan sebanyak 20,000 unit pek kesedaran mengandungi penutup mulut dan hidung; risalah, pelekat dan magnet peti ais mengenai Covid-19 kepada pekerja Grab Food sementara 100,000 unit pek kesedaran lagi akan diedarkan kepada pelanggan Grab," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini masyarakat perlu terus kekal di rumah bagi memutuskan rantaian wabak maut ini selain terhindar daripada menyebarkan berita palsu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 12:35pm
    d