mutakhir

Sultan Ibrahim doa rakyat dikurniakan keberkatan, kerahmatan

Oleh Mohamed Farid Noh

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menyifatkan Ramadan kali ini membawa bersamanya suatu kelainan yang tidak pernah dirasai sebelum ini susulan pandemik Covid-19.

Sultan Ibrahim dalam muat naik di akaun Facebook rasmi baginda bertitah, bangsa Johor yang beragama Islam khususnya tidak dapat berterawih dan melaksanakan ibadat lain di masjid seperti biasa.

Manakala bangsa Johor yang lain secara amnya pula tidak dapat menikmati bazar Ramadan yang dinanti-nantikan, titah baginda.

"Saya akui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita lalui selama ini tidak mudah untuk semua.

"Ada yang kehilangan orang tersayang dan terjejas pendapatannya.

"Petugas barisan hadapan mengambil risiko yang besar setiap hari, manakala peniaga-peniaga pula risau bagaimana untuk terus bertahan," titah baginda.

Mengulas lanjut, Sultan Johor bertitah, bagaimanapun, ini sahajalah cara untuk memutuskan rantaian Covid-19 dengan secepat mungkin.

"Setelah itu barulah kita semua boleh secara perlahan-lahan meneruskan kehidupan.

"Kepada seluruh muslimin dan muslimat, gunakanlah bulan Ramadan ini sebaiknya untuk tingkatkan amal ibadat di rumah, bermuhasabah diri dan bertawakal kepada Allah SWT," titah baginda.

Baginda turut mendoakan supaya semua rakyat dikurniakan keberkatan dan kerahmatan untuk segera bangkit daripada bencana pandemik ini.

"Kepada Bangsa Johor yang bukan Islam pula, berdoalah juga dengan cara anda sendiri untuk kebaikan semua.

"Saya dan keluarga mengucapkan semua umat Islam selamat menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan Al-Mubarak," titah baginda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 3:11pm
    d