mutakhir

Jual makanan 12 tengah hari hingga 7 malam

Oleh Asrol Awang

SEMUA pemilik premis makanan yang berada di bangunan kedai dibenarkan menjual makanan secara bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran bermula 12 tengah hari hingga 7 malam sepanjang Ramadan.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Norkamawati Kamal berkata, keputusan itu berdasarkan notis pemberitahuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Garis Panduan Perniagaan Premis Perniagaan sepanjang Ramadan 2020.

Menurutnya, pemilik premis makanan dan tempat penyediaan makanan hendaklah kekal mematuhi arahan PKP seperti penjarakan sosial, penggunaan cecair pensanitasi tangan, topeng muka dan mengehadkan jumlah pelanggan masuk pada satu-satu masa.

"Makanan yang siap dimasak tidak dibenarkan dibungkus dalam bekas polisterin dan hanya dibenarkan dalam bekas makanan plastik atau kertas sahaja.

"Peniaga yang menjual makanan secara dalam talian juga diminta mematuhi garis panduan keselamatan makanan bagi produk makanan yang dijual sepanjang PKP," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagi restoran makanan segera pula, beliau berkata, premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai 12 tengah hari hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, pihaknya menetapkan bahawa semua perniagaan termasuk warung, gerai dan penjaja statik di kawasan pentadbiran MPK masih tidak dibenarkan berniaga.

"Bagi penghantar pula, MPK menetapkan tiga waktu operasi iaitu penghantar barangan pelbagai boleh memulakan kerja mereka bermula 7 pagi hingga 7 malam.

"Penghantar makanan segera dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam, manakala penghantar selain makanan segera pula dari 12 tengah hari hingga 7 malam.

"Penghantar makanan disyaratkan menggunakan bekas atau tempat simpanan makanan yang dikhaskan untuk mengisi makanan sahaja.

"Penghantar juga perlu memakai topeng muka, sarung tangan, membawa cecair pensanitasi tangan serta mengamalkan penjarakan sosial ketika berurusan dengan pelanggan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 4:37pm
    d