mutakhir

Penuntut akur tidak dapat pulang ke kampung

Oleh Rafiqah Dahali

"WALAUPUN kampung dikategorikan sebagai zon hijau, tetapi memandangkan saya berada di zon merah, agak sukar untuk balik," kata Jerryko Jonius, 20, penuntut tahun pertama Cosmopoint College Kota Kinabalu.

Menurut Jerryko, disebabkan lokasinya kini berada di zon merah, beliau memahami sukar untuknya balik ke daerah kelahirannya, Telupid yang kekal sebagai zon hijau sehingga kini.

"Buat masa ini saya tinggal di rumah keluarga ibu saudara saya sekitar Kota Kinabalu dan menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebenarnya saya baru sahaja mendaftar sebagai pelajar tahun pertama semester satu tetapi disebabkan PKP, saya tidak sempat masuk asrama kerana telah ditutup malah belum berkesempatan bersua dengan rakan baru," katanya ketika dihubungi.

Katanya, dia kerap menghubungi keluarganya menerusi panggilan telefon bagi melepaskan kerinduan.

"Sepanjang tempoh PKP ini saya kerap menghubungi keluarga saya untuk melepaskan rindu dan mereka memahami keadaan saya.

"Ibu saya pernah juga menyuruh saya untuk balik ke kampung tetapi saya jelaskan dengan teliti keadaan sekarang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian.

"Sekarang saya mengikuti kelas secara atas talian bersama pensyarah dan menyiapkan tugasan diberikan.

"Saya positifkan diri dengan meluangkan masa melakukan beberapa aktiviti untuk mengisi masa lapang seperti memasak, menonton filem di samping membantu saudara saya di rumah," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penuntut IPT tetap dilarang pulang ke rumah masing-masing sekiranya berada di zon merah dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 24, 2020 @ 6:11pm
    d