mutakhir

Pahang benar operasi pasar awam sehingga 2 petang

Oleh Asrol Awang

KERAJAAN negeri Pahang melanjutkan tempoh operasi pasar awam di seluruh negeri selama dua jam bagi membantu ekonomi peniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini, tempoh operasi yang ditetapkan dalam tempoh PKP bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dengan lanjutan tempoh beroperasi itu, semua peniaga di pasar awam dibenarkan berniaga bermula 7 pagi hingga 2 petang.

Katanya, keputusan ini diambil sebagai maklum balas terhadap aduan yang diterima daripada peniaga terutama penjual daging.

"Penjual daging bimbang daging yang dilapah pada waktu pagi setiap hari, tidak sempat dijual selewat-lewatnya pada 12 tengah hari.

"Mereka meminta tempoh ini dilanjutkan dan mempunyai cukup masa untuk menjualnya selepas mengambil masa agak lama untuk menyelesaikan kerja melapah.

"Keputusan ini menunjukkan sikap prihatin dan responsif kerajaan negeri terhadap aduan serta masalah dibangkitkan oleh rakyat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Wan Rosdy berkata, keputusan itu diharap melegakan semua peniaga di pasar awam di negeri ini.

"Semoga mereka terus akur dengan segala syarat dan ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 2:21pm
    d