mutakhir

Tutup laluan tumpuan beli juadah berbuka puasa

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BEBERAPA laluan menghala ke lokasi tumpuan untuk membeli juadah berbuka puasa di Kangar akan ditutup bermula hari ini sehingga 12 Mei depan bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, setakat ini lima lokasi akan ditutup dan dilencongkan bermula 3 petang hingga 7.15 malam selain penguatkuasaan kawalan penjarakan sosial turut dikeluarkan.

Katanya, lokasi terbabit ialah Jalan Bintong, Taman Kemajuan, Titi Chai, Jalan Sarawak (Kuala Perlis) dan Pekan Simpang Empat.

"Beberapa jalan yang menghala ke lima lokasi berkenaan akan ditutup dan dikawal serta dilencongkan bagi memastikan ia tidak dipenuhi oleh orang awam.

"Antaranya di persimpangan lampu isyarat berhadapan Peladang Bintong, laluan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs), persimpangan lampu isyarat Jalan Raja Syed Alwi, persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Kubu, Jalan Dato' Ahmad Musa dan beberapa jalan mini serta lorong kecil yang menghala ke lima lokasi berkenaan.

"Manakala lokasi penutupan beberapa jalan utama menghala ke pusat banda yang dilaksanakan pada PKP fasa ketiga sebelum ini akan dibuka semula mulai hari ini berikutan tinjauan semalam mendapati tidak banyak kenderaan masuk ke bandar ketika Ramadan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya memohon agar masyarakat setempat dapat mematuhi peraturan berkenaan bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.

"Tindakan yang sukar ini terpaksa diambil bagi meletakkan keselamatan masyarakat di daerah Kangar sebagai keutamaan pihak polis," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 2:28pm
    d