mutakhir

Mula janggal kini mudah guna aplikasi

Oleh Noorazura Abdul Rahman

WALAUPUN berada di kawasan luar bandar, namun seramai 148 peniaga di Padang Terap, Kedah menyahut seruan kerajaan apabila memanfaatkan kemudahan teknologi dengan memasarkan produk makanan dan minuman secara dalam talian.

Mereka menggunakan aplikasi eDESA@Bazar hasil inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Rangkaian Anak-anak Padang Terap (RAPAT).

Peniaga makanan Siti Norbaidura Abd Aziz, 39, berkata dia yang menjual nasi ayam hainan, laksa dan bihup sup mula menggunakan kaedah itu dalam perniagaannya untuk mendapatkan pelanggan.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia perlu menyesuaikan diri dengan aplikasi berkenaan demi kelangsungan perniagaan mereka.

"Pada mulanya rasa janggal kerana sudah terbiasa dengan jual beli secara langsung, tetapi kali ini mahu tak mahu saya perlu mencuba sesuatu yang baharu untuk memastikan pendapatan tidak terputus.

"Ternyata selepas mencuba aplikasi ini, nampaknya mudah dan saya boleh membuat persiapan makanan berdasarkan tempahan dalam talian sekali gus dapat mengurangkan pembaziran sepanjang Ramadan," katanya.

Penghantar makanan, Badrul Hisham Arshad, 28, berkata dia sangat teruja apabila dapat bekerja ketika tempoh PKP ini sekali gus mampu menjana pendapatan.

"Saya juga bersyukur kerana dapat menyertai inisiatif ini, dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi penduduk setempat," katanya.

Sementara itu, Pengerusi RAPAT, Datuk Seri Ghazali Ibrahim berkata, pihaknya turut membantu peniaga dan penghantar makanan terbabit berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, pihaknya menyeru penduduk di Padang Terap agar menggunakan aplikasi eDESA@Bazar untuk membuat tempahan makanan selari dengan saranan kerajaan mahu rakyat duduk di rumah.

"Usah bimbang dengan khidmat penghantaran kerana setakat ini terdapat 55 penghantar makanan berdaftar terdiri daripada anak-anak tempatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 4:56pm
    d