mutakhir

JAIS perincikan pelaksanaan peperiksaan

Oleh Norzamira Che Noh

JABATAN Agama Islam Selangor (Jais) sudah menetapkan perincian pelaksanaan peperiksaan awam di bawah seliaannya serta kaedah diguna pakai bagi menghadapi beberapa perubahan berkenaan.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri serta mendapat perkenan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Baginda juga berkenan bahawa Jais dan kerajaan negeri mengambil kira segala langkah yang perlu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan termasuk faktor keselamatan murid, guru, ibu bapa, penjaga dan seluruh masyarakat awam umumnya di fasa pasca penamatan penguatkuasaan PKP dalam membuat keputusan ini.

"Jais juga berupaya untuk menyediakan kaedah dan pentaksiran lain yang setara bagi penentuan murid ke tingkatan satu, empat dan enam," katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, untuk Peperiksaan Penilaian Sijil Rendah Agama (PSRA), penilaian akan dilakukan melalui keputusan Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT) dan Peperiksaan Akhir Tahun (PAT) bagi tiga tahun berturut-turut iaitu bermula dari tahun tiga, empat dan lima.

Menurutnya, penilaian juga akan membabitkan keputusan mata pelajaran Bahasa Arab setiap murid, laporan pencapaian sahsiah bagi kelayakan murid ke tingkatan satu, penilaian melalui aktiviti ko-kurikulum serta keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

"Peperiksaan Pentaksiran Hafazan Al-Quran (PPTQ) pula akan digantikan dengan kaedah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

"Untuk peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA), Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD)yang ditangguhkan, tarikh peperiksaan baru akan ditetapkan untuk dilaksanakan pada suku pertama 2021 serta diuji mengikut Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) setiap mata pelajaran.

"Penangguhan peperiksaan ke suku pertama tahun hadapan itu juga akan membabitkan peperiksaan Sijil KAFA Menengah (SKM)," katanya.

Mohd Shahzihan berkata, secara keseluruhannya Jais membatalkan peperiksaan di peringkat rendah (PSRA dan PPTQ) dan menggunakan kaedah pentaksiran lain yang ditentukan, manakala bagi peperiksaan peringkat menengah (SMA, SMATQ dan SMATD) pula ditangguhkan kerana peperiksaan berkenaan adalah penting bagi kelangsungan pelajar ke peringkat pengajian tinggi dan sektor kerjaya.

Beliau juga menegaskan agar guru dan pelajar dapat meneruskan aktiviti pembelajaran dalam talian seperti dilaksanakan sekarang malah dengan keputusan ini, guru dan pelajar perlu terus membuat persediaan rapi bagi menghadapi proses yang selanjutnya yang akan dilaksanakan oleh Jais nanti.

"Ibu bapa juga diminta memastikan anak-anak mengikuti aktiviti dalam talian dan sentiasa mengulangkaji pelajaran di rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 5:10pm
    d