mutakhir

Tabik Staf Sarjan Edward, Korporal Raim

Oleh Adnan Ibrahim

Simpang Renggam: Demi menghormati rakan setugas, dua anggota tentera yang bertugas di sekatan jalan raya 2 berhampiran Kampung Parit Salam di sini, sanggup tidak makan tengah hari.

Staf Sarjan Edward Jinas, 37, berkata, amalan tidak makan tengah hari sekiranya bertugas di perbatasan negara ketika Ramadan bukan perkara baru buatnya yang sudah 18 tahun berkhidmat dalam 33 Rejimen Artileri Diraja (RAD).

Malah amalan itu bagi Edward, umpama nikmat luar biasa bagi seorang anggota tentera bukan Islam kerana berpeluang merasai pengalaman berpuasa seperti rakan setugas beragama Islam.

Katanya, walaupun berbeza penempatan tugas seperti sebelum ini iaitu dalam hutan dan kini, pada sekatan jalan raya, namun pendekatan untuk tidak makan tengah hari pada Ramadan bagaikan satu kebiasaan pada dirinya.

"Untuk mengelakkan lapar, saya makan pada awal pagi sebelum memulakan tugas jam 8 pagi. Ia membantu untuk tidak makan tengah hari sehingga waktu penugasan tamat pada 4 petang.

"Selain tidak makan, saya juga tidak minum kerana tidak mahu apa sahaja yang dilakukan akan menjejaskan ibadat puasa rakan setugas beragama Islam," katanya ditemui hari ini.

Sementara itu, Koperal Raim Meli, 37, yang berasal dari Sabah berkata, amalan sama-sama berpuasa bukan satu perkara janggal baginya kerana sebahagian tempoh 16 tahun perkhidmatannya dihabiskan dengan rakan setugas beragama Islam.

"Sekarang kami bukan sahaja bertugas dengan rakan sepasukan namun turut dianggotai oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Perasaan untuk menghormati ibadat yang mereka jalani harus ada apatah lagi ketika sama-sama berpanas dan berhujan di lokasi penugasan.

"Malah semua pengalaman ini amat bermakna untuk diceritakan kepada anak cucu satu hari nanti, agar sentiasa wujud keharmonian apatah lagi sekiranya mereka juga bertugas sebagai anggota keselamatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 25, 2020 @ 6:06pm
    d