mutakhir

Penjaja dikompaun, barang niaga disita [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PENJAJA dikompaun dan barang niaganya disita selepas tidak mengendahkan amaran dikeluarkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) supaya tidak berniaga di tepi Jalan Kuala Kedah di Alor Setar, petang semalam.

Peniaga berusia 50-an terbabit antara 11 penjaja yang dikompaun MBAS dalam Ops Penjaja Ramadan bermula 3 petang hingga 7 malam.

Ketua Bahagian Penguatkuasa MBAS, Ahmad Syaher Abu Bakar berkata, operasi itu dilakukan berikutan masih ada penjaja dikesan ingkar, walaupun pihaknya sudah mengeluarkan amaran berkenaan sejak Khamis lalu.

Katanya, pihaknya mengesan masih ada penjaja menjalankan perniagaan di bahu jalan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menyebabkan kesesakan jalan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Syaher berkata, Ops Penjaja Ramadan semalam mengambil tindakan terhadap 37 penjaja dan lima premis di tiga kawasan iaitu Kuala Kedah, Pokok Sena dan Alor Setar.

"Keseluruhannya, kita menyita peralatan niaga 21 penjaja dan 11 mereka dikompaun mengikut Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana mereka didapati ingkar dengan arahan ditetapkan," katanya ketika ditemui selepas operasi malam tadi.

Ahmad Syaher berkata, pihaknya tidak menghalang penjaja berniaga pada Ramadan namun mereka perlu mengikut peraturan ditetapkan termasuk memastikan penjarakan sosial.

"Apa kita lihat dalam operasi hari ini pelanggan dan peniaga tidak mengendahkan perkara itu sedangkan ia penting bagi mengurangkan penularan wabak Covid-19," katanya.

Katanya, penjaja perlu mencari inisiatif dan kaedah perniagaan dibenarkan antaranya berniaga di dalam premis atau di rumah serta melaksanakan penghantaran makanan yang dipesan pelanggan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 10:21am
    d