mutakhir

Terperangkap PKP jana sumber pendapatan

Oleh Amran Yahya

TERPERANGKAP di kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberikan sumber pendapatan kepada sebuah keluarga di Kampung Baru Desa Jemapoh, Kuala Pilah apabila mereka bergotong-royong menjalankan perniagaan pizza secara 'cash on delivery' (COD).

Namun cara pembuatan pizza mereka unik apabila ia tidak dibakar menggunakan peralatan moden sebaliknya menggunakan kayu api dan dipanaskan di dalam dapur sabak yang diperbuat dari tanah liat.

Pengusaha, Raudhah Hassan, 34, kebanyakkan adik beradiknya pulang ke kampung sempena cuti sekolah penggal pertama bermula 14 Mac hingga 22 Mac lalu.

"Namun disebabkan PKP fasa pertama bermula 18 Mac, kesemua adik beradik saya 'terperangkap' di kampung sehingga mereka buntu kerana tiada aktiviti dilakukan sehinggalah memasuki PKP fasa ketiga.

"Bagaimanapun, apabila memasuki PKP fasa keempat, kami berbincang untuk berniaga 'pizza kayu api' secara dalam talian memandangkan masuk bulan Ramadan," katanya.

Menurut Raudhah, dapur sabak yang ada di rumahnya itu sudah lama dibina dan hanya digunakan untuk membuat pizza bagi ahli keluarga sahaja.

"Dari dapur sabak ini terbiar, lebih baik digunakan untuk menambah rezeki di bulan Ramadan, lebih-lebih lagi tiada bazar Ramadan untuk tahun ini. Semua pekerja termasuk penghantar makanan adalah di kalangan ahli kelurga sendiri.

"Hari pertama Ramadan, kami hanya mendapat 20 tempahan, namun hari kedua tempahan naik mendadak sehingga melebihi 100 keping pizza," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 10:49am
    d