mutakhir

Jual tudung untuk beli susu, lampin anak

Oleh Samadi Ahmad

TINDAKAN seorang penunggang motosikal yang dilihat menjual tudung berhampiran sebuah stesen minyak menarik perhatian ramai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dikuatkuasakan.

Lelaki terbabit dilihat menjual tudung di Petronas Seberang Jaya, Pulau Pinang. Malah bagi menarik perhatian pengunjung stesen minyak itu lelaki terbabit turut meletakkan plakad tertulis 'saya jual tudung sebab nak beli susu dan pampers anak'.

Pengguna Facebook Alin Taharin yang berkongsi dan memuat naik beberapa gambar lelaki itu mengatakan beliau menemui lelaki terbabit di stesen minyak dan melihatnya sedang duduk bersebelahan motosikalnya.

Sementara itu, tudung dilihat tergantung pada motosikalnya dengan sehelai plakad yang diletakkan di atasnya.

Menerusi perkongsian itu, Alin berkata, saudara itu bukan meminta tetapi menjual tudung demi keperluan anaknya.

"Keprihatinan anda membuktikan kemuliaan hati emas," tulisnya.

Sementara itu, beberapa pengguna media sosial turut bersimpati dengan usaha lelaki itu dengan memberi pelbagai komen positif.

Antaranya, Aznizam Razman yang berkata, beliau merasa sedih kerana ramai orang menerima nasib seperti itu.

Katanya, dia mencadangkan supaya duit membeli pampers itu diganti dengan lampin cara dulu-dulu yang boleh dibasuh dan guna semula.

Manakala, Erry Sham berkata, tidak salah untuk kita sama-sama membantu saudara ini dan sememangnya digalakkan.

Katanya, sekiranya beliau berada di tempat lelaki itu dia akan cuba untuk berjimat dan utamakan yang lebih penting seperti susu anak.

PKP dilaksanakan 18 Mac lalu menyebabkan penutupan sementara beberapa operasi perniagaan yang jelas mempengaruhi sumber pendapatan orang ramai terutamanya mereka yang memperoleh gaji harian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 11:27am
    d