mutakhir

Peniaga kecil sesuaikan diri norma baharu [METROTV]

Oleh Mohd Roji Kawi

LANGKAH tegas kerajaan melarang pembukaan bazar serta gerai di tepi jalan sepanjang Ramadan ini bukan untuk menafikan hak peniaga meraih rezeki, tetapi bagi memastikan usaha memutuskan rantaian Covid-19 tidak terjejas.

Akur dengan larangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu, ramai peniaga kecil khususnya yang menjual juadah berbuka puasa kini menjalankan perniagaan dari rumah dan menggunakan media sosial untuk urusan jual beli dalam talian.

Meskipun agak kekok dengan norma baharu itu, seorang peniaga, Othman Ahmad, 57, berkata, ia adalah pilihan terbaik untuk mereka meneruskan perniagaan ketika ini.

Menurutnya, sebagai usahawan kecil sepenuh masa, dia tidak mahu PKP menjadi alasan untuk tidak meneruskan perniagaannya.

"Setiap kali Ramadan, saya antara peniaga tetap yang menjual kuih muih di Bazar Ramadan Medan Niaga di Satok, tetapi kali ini kami tidak lagi berpeluang berniaga di tempat terbuka.

"Ini sesuatu yang baharu bagi kita semua dan kita harus akur dengan keadaan ini. Perniagaan harus diteruskan walaupun perolehan tidak seperti sebelumnya," katanya yang tinggal di Kolong 2, Kampung Matang Sungai Tengah, di sini.

Othman yang juga pemilik syarikat pengeluar kerepek, Manja Enterprise berkata, berikutan kesukaran mendapatkan bahan mentah untuk menghasilkan kerepek, mereka sekeluarga menumpukan perhatian sepenuhnya kepada penjualan kuih sepanjang Ramadan ini.

"Kami menjual kuih muih tradisional untuk juadah berbuka puasa dan menjual sekitar kampung selain menyediakan khidmat penghantaran untuk jarak dalam lingkungan hanya dua kilometer dari kediaman kami.

"Walaupun kaedah perniagaan ini agak baru, namun ia masih mampu menampung keperluan kami sekeluarga sementara menunggu keadaan pulih seperti sedia kala," katanya.

Sementara itu, peniaga kuih, Suhana Bujang yang menetap di Jalan Depo, di sini, berkata, dia menggunakan kumpulan Bazar Ramadan Online di laman sosial Facebook untuk mempromosi jualannya.

"Pada mulanya ketika PKP ini, kami sudah tidak berpeluang untuk menjalankan perniagaan, tetapi dengan adanya kemudahan terkini, kami masih boleh meneruskan perniagaan.

"Saya menjual kuih tradisional Sarawak yang sesuai untuk berbuka puasa seperti kuih bongkol, penyaram, nona manis, popia, karipap, koci dan selorot," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 2:55pm
    d