mutakhir

238 kertas siasatan berita palsu [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SEBANYAK 238 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu 170 masih dalam siasatan, 24 kes didakwa di mahkamah, 11 diberikan notis amaran dan 13 mengaku bersalah.

Menurutnya, orang ramai boleh menyemak kesahihan berita melalui portal sebenarnya.my.

"Sekali lagi kerajaan ingin memberi peringatan untuk berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya. Tidak pasti, jangan kongsi.

"Pihak PDRM dan SKMM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac 2020 telah melakukan 4,150 operasi sanitasi termasuk di 13 Zon Merah.

"Sebanyak 8,035 premis kerajaan, premis perniagaan dan kawasan awam telah disanitasi.

"Semalam, sebanyak 86 operasi sanitasi meliputi 35 zon merah dan kuning di sembilan negeri, termasuk 31 operasi di Johor dan 17 operasi di Perak," katanya.

Beliau berkata, operasi sanitasi semalam merangkumi 34 bangunan kerajaan, 23 tempat awam, 39 pusat perniagaan, lima kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan empat pasar raya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 3:50pm
    d