mutakhir

Permainan tradisional rapatkan hubungan keluarga

Oleh Roselan Ab Malek

SUAMI isteri memanfaatkan masa terluang ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan memperkenalkan permainan tradisional kepada lima anaknya bagi mengelakkan mereka kebosanan.

Antara permainan itu termasuk oh som, lamprit, ketiting, dam ular, batu seremban, tebang tebu, nenek kebayan dan ram ram pisang.

Rozaina Resedi, 46, berkata idea berkenaan timbul apabila dia dan suaminya Saufie Abdul Manaf, 49, tidak mahu anak-anak mereka berusia lima hingga 15 tahun berasa bosan terkurung di dalam rumah.

Menurutnya, anak-anaknya mendakwa sudah jemu menonton televisyen, bermain permainan komputer dan membaca buku sehingga tidak tahu mahu berbuat apa-apa.

Katanya, dia yang menetap di Taman Inderapura, Jerantut memahami tahap kebosanan anak-anak kerana rumah mereka tidak mempunyai kawasan lapang untuk bermain.

"Puas juga saya memikir apabila perlu dibuat untuk mengelakkan mereka terus dilanda bosan sehinggalah timbul idea memperkenalkan permainan tradisi yang pernah kami main sebelum ini ketika kecil.

"Justeru, saya letakkan syarat akan memperkenalkan permainan tradisi itu dan main bersama-sama selepas mereka selesai membuat ulangkaji pelajaran atau membaca buku," katanya.

Pasangan itu mempunyai dua anak lelaki dan tiga anak perempuan iaitu Nur Aina Damia, 15, Ahmad Airiel Aqashah, 14, Ahmad Aidiq Aqashah, 12, Nur Arissa Damia dan Nur Afriena Damia, 5.

Menurutnya, pada mulanya mereka memang pelik tetapi mula seronok selepas mencuba dan dapat bermain dengan sendirinya tanpa tunjuk ajar lagi.

Katanya, kebanyakan permainan tradisional sudah dilupakan oleh generasi hari ini dan dia cuba menghidupkan kembali warisan budaya bagi mengembalikan nostalgia.

"Waktu terluang sepanjang tempoh PKP ini perlu dimanfaat sebaik mungkin terutama bagi memastikan kanak-kanak tidak kebosanan dan mendapat pengalaman baru," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 4:40pm
    d