mutakhir

Mualaf tabah hadapi dugaan hidup

Oleh Noorazura Abdul Rahman

LELAKI berketurunan Tionghua tabah menghadapi dugaan hidup walaupun hanya menyara keluarga dengan menjual bertih jagung selepas memeluk Islam, 10 tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Adam Lai Abdullah, 45, kini terputus rezeki sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan dan meneruskan hidup dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) serta sumbangan orang ramai.

Katanya, dia tidak mampu melakukan kerja berat berikutan tangan kanannya sering sakit selepas pernah patah sebanyak dua kali akibat terjatuh ketika kecil.

"Sebelum ini saya menjual bertih jagung menggunakan motosikal di kawasan tumpuan ramai sekitar Alor Setar dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari.

"Semasa berniaga, saya akan membawa anak-anak bersama kerana tidak berani tinggalkan mereka di rumah disebabkan isteri saya juga keluar bekerja sebagai pembantu kedai," katanya yang menyewa di flat Taman Setia Jaya, Alor Setar, hari ini.

Bapa kepada dua orang anak itu, berkata dia tidak dapat menghantar anaknya ke sekolah sebelum ini berikutan masalah dokumentasi kerana isterinya, Ita Yusita Harlini Subran, 35, adalah warga Indonesia.

Bercerita lanjut, katanya, dia sangat bersyukur apabila ramai kenalan beragama Islam membantu keluarganya termasuk memberi pinjaman bagi membeli mesin membuat bertih jagung berharga lebih RM1,000.

"Hidup kami terpaksa berhutang kerana pendapatan saya dan isteri tidaklah banyak, selain terpaksa membayar rumah sewa sebanyak RM350 sebulan.

"Sebelum ini, kami belanjar lebih RM10,000 ketika pulang ke Palembang, Indonesia bagi tujuan dokumentasi isteri dan anak-anak hujung tahun lalu.

"Untuk ke Indonesia, kami terpaksa berhutang lebih RM5,000 dan selebihnya menggunakan duit bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Baitulmal," katanya.

Menurutnya, walaupun buta huruf, namun dia berharap anak-anaknya iaitu Muhammad Irfansah Lai, 9, dan Muhammad Riyansah Lai, 6, mendapat pendidikan sehingga peringkat tertinggi bagi memastikan mereka mempunyai masa depan lebih cerah.

"Ramadan tahun ini memberi sinar baharu buat keluarga kami apabila saya difahamkan boleh mendaftar anak-anaknya ke sekolah selepas PKP apabila dokumen bagi tujuan itu sudah lengkap," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 5:08pm
    d