mutakhir

Bincang tamat PKPD di Simpang Renggam

Oleh Adnan Ibrahim

SATU perbincangan diadakan hari ini bagi mengenal pasti sama ada Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) boleh dibebaskan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, hasil perbincangan itu akan dibawa ke peringkat negeri sebelum diputuskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sama ada menamatkan PKPD pada Selasa ini atau menyambungnya ke satu tarikh lain.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, satu prosedur operasi standard (SOP) perlu diperhalusi sekiranya PKPD di BBIM dan KDIM ditutup selain memikirkan langkah seterusnya yang akan diambil jika dilanjutkan.

Katanya, semua perkara ini dibincangkan semalam sebelum dibawa ke mesyuarat di peringkat negeri hari ini dan dipanjangkan kepada KKM untuk diputuskan perlaksanaannya.

"Pelbagai perkara perlu diambil perhatian dan kita tidak mahu apabila PKPD ditamatkan di kawasan ini akan memburukkan keadaan sedia ada.

"Semua itu akan diputuskan Selasa ini dan semua pihak berkaitan termasuk penduduk diharapkan dapat bersedia dengan apa jua keputusan yang akan diumumkan nanti," katanya selepas menyertai mesyuarat khas di Bilik Gerakan Bencana Covid-19 di Dewan Orang Ramai Majlis Daerah Simpang Renggam, hari ini.

BBIM dan KDIM mula dikenakan PKPD pada 27 Mac hingga 9 April lalu sebelum disambung hingga Selasa ini untuk fasa dua.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan membabitkan 630 rumah dengan kapasiti 3,570 penduduk.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 5:29pm
    d