mutakhir

300,000 permohonan diterima menerusi Gerak Malaysia

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menerima 300,000 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia dalam tempoh 12 jam ia dilancarkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, daripada jumlah berkenaan 100,000 pemohon adalah untuk mendapatkan permit perjalanan rentas negeri (Inter-state).

"Mereka ini adalah yang terkandas di kampung halaman dan tidak sempat pulang ke rumah masing-masing ekoran pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"PDRM menjangkakan jumlah permohonan berkenaan meningkat berkali ganda menjelang 1 Mei 2020," katanya.

Huzir berkata, pihaknya akan memastikan setiap permohonan diterima adalah untuk tujuan yang dibenarkan sahaja.

"Dalam tempoh ini, PDRM akan memantau dan menilai trend permohonan diterima melalui aplikasi Gerak Malaysia.

"Hasilnya akan diangkat maklum kepada pihak kerajaan supaya tarikh pergerakan yang diumumkan semalam dapat dikaji semula dan diselaraskan mengikut jumlah permohonan," katanya.

Menurutnya, masyarakat diminta memberikan kerjasama dengan hanya memohon mendapatkan permit pergerakan rentas negeri atas sebab sahih seperti ditetapkan.

"Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sistem aplikasi atas talian Gerak Malaysia dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar perlu.

"Perkembangan lanjut mengenai jadual pergerakan antara negeri akan diumumkan kelak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 26, 2020 @ 7:20pm
    d