mutakhir

'Power Rangers' beri sumbangan

Oleh Redzuan Muharam

KELAINAN ditonjolkan guru Bahasa Melayu, Sudirman Tawakal apabila memakai kostum Power Rangers ketika mengagihkan bantuan kepada penduduk setempat.

Menariknya kostum itu dipakai bermula dari rumah sebelum membeli barangan keperluan hingga sewaktu menyampaikan sumbangan kepada penerima.

Sudirman, 42, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Bugaya, Semporna, Sabah berkata, pemakaian kostum adalah salah satu hobinya dan kini caranya untuk menceriakan penduduk setempat yang terkesan kerana hilang pendapatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sumbangan barangan keperluan asas itu disampaikan kepada 45 keluarga yang juga penduduk kawasan perumahannya di Kampung Sungai Gajah, Semporna.

Selain sumbangan berkenaan, Sudirman turut mengagihkan juadah makanan berbuka untuk petugas barisan hadapan membabitkan anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia yang mengawal sekatan jalan raya.

"Niat saya memberi sumbangan ini adalah untuk bersedekah bagi pihak arwah ibu dan ayah yang sudah lama meninggal dunia.

"Di samping itu, saya mahu membantu penduduk kampung yang selalu ada bersama semasa susah dan senang, juga keluarga anak murid saya sendiri.

"Lagipun bebanan hutang sewaktu tempoh PKP ini berkurangan, jadi saya mahu gunakan lebihan wang yang ada untuk membantu penduduk setempat sekali gus mengambil keberkatan sempena Ramadan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Sudirman, dia keluar seawal jam 8 pagi untuk membeli barangan keperluan sebelum mengagihkannya sendiri dengan pergi ke rumah penerima.

Katanya, inisiatifnya itu berjalan lancar dengan bantuan premis Century, Jalan Bugaya yang membantunya membungkus barangan keperluan.

"Memandangkan tempoh PKP masih berjalan, saya tidak mahu mengambil risiko dan hanya bergerak sendiri dari satu rumah ke rumah yang lain.

"Sebaik menghantar sumbangan, saya terus beredar dan walaupun tidak dapat meluangkan masa yang lama, saya syukur melihat riak wajah kegembiraan mereka sewaktu menerima barangan keperluan.

"Ini adalah permulaan dan jika ada rezeki di kemudian hari, saya mahu adakan lagi aktiviti sebegini yang secara tidak langsung mengeratkan silaturahim dengan jiran sekeliling," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 1:54pm
    d