mutakhir

Penuntut universiti seronok pulang kampung malam ini

Oleh Suraya Roslan

KETERUJAAN penuntut institusi pengajian tinggi awam untuk pulang ke kampung halaman jelas terpancar di raut wajah mereka kerana ia sekali gus membolehkan mereka meluangkan masa dan menyambut Ramadan bersama keluarga.

Bagi mereka, peluang yang diberikan kerajaan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing amat dihargai.

Sekurang-kurangnya keresahan ibu bapa memikirkan nasib anak yang jauh di perantauan terubat dengan keputusan kerajaan yang memberikan sedikit kelonggaran untuk mereka pulang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bagi penuntut Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Syazwan Hakimi Hishamuddin, 24, dia teruja untuk pulang ke kampung halaman di Baling, Kedah, malam ini.

"Saya anak sulung daripada lima beradik, pastinya dengan kepulangan ke kampung dapat mengurangkan kerisauan saya apabila berpisah dengan mereka.

"Tanggungjawab saya besar, risau keadaan keluarga di kampung lebih-lebih lagi ketika pelaksanaan PKP ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia memang teruja untuk pulang ke kampung kerana memahami keluarganya begitu menanti kepulangannya.

"Saya pun sedih berada di sini, cuma tidaklah sampai ke tahap kemurungan.

"Lebih-lebih lagi mengetahui keluarga di kampung begitu risau dengan keadaan saya di sini sejak PKP fasa satu dilaksanakan," katanya yang juga penuntut semester lapan fakulti itu.

Luahan sama turut dikongsi Nurul Izzah Zainol, 21, penuntut Fakulti Pengajian Islam UKM yang begitu teruja sebaik dimaklumkan namanya tersenarai untuk pulang ke kampung malam ini.

"Bukannya tidak seronok tinggal di kolej, tetapi lebih seronok jika kita berada di samping keluarga yang risau dengan keadaan kami di sini.

"Peluang yang diberikan ini akan kami hargai sebaiknya untuk bersama keluarga tercinta," katanya yang akan pulang ke Baling, Kedah.

Nurul Izzah berkata, keluarganya begitu gembira sebaik dimaklumkan dia akan pulang menaiki bas malam ini.

"Mungkin ini juga antara berita ditunggu-tunggu ibu bapa saya di kampung, terima kasih kepada kerajaan kerana memahami kekangan kami sebagai pelajar dan juga keresahan hati keluarga.

"Walaupun dibenarkan pulang ke kampung, kami tetap akan menyertai kelas dalam talian seperti dijadualkan oleh universiti bermula hari ini," kata anak ketiga daripada enam beradik itu.

Bagi Nor Afiza Shafika Abdul Razak, 21, penuntut Fakulti Pengajian Arab dan Tamadun Islam UKM, berita paling ditunggu-tunggu sejak PKP dilaksanakan akhirnya tiba juga hari ini.

"Saya begitu gembira sebaik mengetahui nama saya tersenarai untuk pulang ke Sik, Kedah malam ini.

"Sekurang-kurangnya kepulangan kami ini bermakna dapat menyambut Ramadan dan juga Aidilfitri bersama keluarga di kampung," katanya.

Menurutnya, keluarganya gembira dan bersyukur sebaik dimaklumkan kepulangannya ke kampung.

"Mungkin ini berita yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap ibu bapa yang anak mereka berada di kampus," katanya.

Sementara itu, jurucakap pengurusan UKM berkata, seramai 150 penuntut akan bertolak pulang ke kampung halaman masing-masing menaiki 10 bas disediakan UKM.

"Mereka ini yang terpilih untuk ke zon hijau di utara seperti dimaklumkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, seramai 114 penuntut universiti itu akan pulang ke kampung malam ini.

"Kita menyediakan enam bas untuk membawa pulang mereka ke zon hijau di utara iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

"Semua penuntut, pemandu bas dan pegawai pengiring perlu menjalani saringan ujian kesihatan terlebih dahulu sebelum menaiki bas," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

    s

  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 2:29pm
    d