mutakhir

Hikmah PKP buat peniaga bazar Ramadan [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

"RAMADAN kali ini saya dan suami dapat berbuka di rumah bersama anak-anak," kata peniaga ayam tempayan, Roshidah Saori, 53.

Katanya, setiap kali Ramadan sejak enam tahun lalu, dia tidak berkesempatan berbuka puasa bersama anak-anak di rumah kerana sibuk berniaga di bazar Ramadan.

Katanya, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19, dia tidak berniaga di tapak bazar Ramadan.

"Kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan tahun ini. Jadi kesempatan yang ada memberi ruang kepada saya berbuka puasa di rumah

"Sudut positifnya masih ada, saya dan suami dapat bersama anak-anak menyediakan juadah dan berbuka bersama," katanya.

Roshidah berkata, susulan PKP, Ramadan tahun ini dia dan suami, Mohd Zalani Mohd Top, 55, meneruskan perniagaan Ayam Tempayan Kempas di rumah mereka di Jalan Sawa, Johor Bahru.

Katanya, dia bersyukur kerana dapat meneruskan perniagaan di rumah dengan menggunakan tiga tempayan saja.

"Kebiasaannya kami menyediakan 150 ekor ayam sehari menggunakan lapan tempayan. Tetapi tahun ini hanya guna tiga tempayan dengan jumlah maksimum 40 ekor ayam bergantung kepada tempahan," katanya ketika ditemui di kediamannya.

Roshidah berkata, sepanjang Ramadan ini, dia menurunkan harga ayam daripada RM25 kepada RM23 seekor.

Katanya, sambil menjual dan bersedekah, pengurangan itu dapat membantu pelanggan, kerana mereka juga perlu membayar upah khidmat penghantaran makanan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 4:50pm
    d