mutakhir

Jabatan Peguam Negara tentukan tuduh di mahkamah

Oleh Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

POLIS tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa pesalah ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) di mahkamah sebaliknya Jabatan Peguam Negara menentukan individu itu sama ada dituduh atau pun tidak di mahkamah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dari segi peraturan setiap individu ditahan akan diambil keterangan oleh polis dan selepas kertas siasatan lengkap akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurutnya, jadi yang menentukan mereka ke mahkamah atau tidak bukan kuasa polis tetapi Jabatan Peguam Negara.

"Prosedur Standard Operasi (SOP) itu sama sahaja kepada individu yang ditangkap iaitu polis hanya mengambil keterangan sebelum melengkapkan kertas siasatan yang akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dituduh di mahkamah," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas susulan kekeliruan daripada masyarakat berkaitan SOP sama ada pesalah ingkar PKP didakwa terus di mahkamah atau diambil keterangan.

Mengulas mengenai peniaga pasar lain dijangkiti Covid-19 dari Pasar Borong Kuala Lumpur, Ismail Sabri berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana seperti biasa sebelum tindakan seterusnya diambil KKM akan berbincang bersama terlebih dahulu.

"Esok KKM akan merujuk ke mesyuarat khas menteri untuk menentukan tindakan seterusnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 5:01pm
    d