mutakhir

491 penuntut UniMAP disaring esok

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

SERAMAI 491 penuntut Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang bakal pulang ke rumah masing-masing bermula Rabu ini perlu menjalani saringan kesihatan, esok.

Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata, kesemua mereka bakal memulakan perjalanan pada 9 malam dengan menaiki bas serta van ke sekitar Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, setakat ini seramai 491 pelajar yang bakal pulang ke negeri asal masing-masing akan menjalani saringan kesihatan di Pusat Kesihatan UniMAP pada petang esok, manakala 220 penuntut lain memilih untuk kekal di dalam kampus.

"Kesemua 491 penuntut ini diwajibkan untuk menjalani saringan kesihatan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang tidak diingini.

"Sekiranya mereka mengalami gejala yang dikaitkan dengan wabak Covid-19 atau suhu badan melebihi 37.5 darjah selsius ke atas, mereka tidak dibenarkan untuk pulang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan membenarkan penghantaran pulang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) termasuk di Sabah dan Sarawak bermula Isnin ini secara berperingkat.

Foad berkata, sebagai langkah persediaan sebanyak 12 kenderaan UniMAP terdiri daripada lapan bas dan empat van akan disinfeksi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis pada malam ini.

"Pengurusan UniMAP juga bermesyuarat dengan pihak polis mengenai proses perjalanan penuntut yang akan pulang ke negeri asal masing-masing," katanya.

Proses penghantaran pulang itu membabitkan seramai 70 penuntut sekitar Zon Utara bagi perjalanan pada Rabu ini, 66 penuntut ke Zon Timur (2 Mei), 75 penuntut ke Zon Tengah (12 Mei) serta selebihnya dari Sabah dan Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 5:12pm
    d