mutakhir

Syukur PKPD tamat

Oleh Adnan Ibrahim

PENDUDUK di Bandar Baru Ibrahim Majid (BBIM) dan Kampung Datuk Ibrahim Majid (KDIM) di sini lega dan bersyukur Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di kawasan itu ditamatkan esok.

Ketua Kampung Datuk Ibrahim Majid, Sarlan Yasmin berkata, genap sebulan penduduk terpaksa berkurung dalam rumah masing-masing dan mulai esok mereka boleh kembali hidup normal.

Namun katanya, tidak bermakna penamatan PKPD itu penduduk boleh mengabaikan setiap langkah pencegahan yang diamalkan sebelum ini.

"Saya menyeru kepada penduduk di dua kawasan ini supaya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan hanya membenarkan ketua atau wakil ahli keluarga yang sihat sahaja membuat urusan di luar.

"Memang sudah lama tidak melihat dunia luar namun harus ingat bahawa kebebasan ini bukan bermakna kita boleh melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan PKP yang dilaksanakan sekarang," katanya ketika dihubungi.

Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan PKPD di BBIM dan KDIM ditamatkan esok.

Menurut Sarlan, keputusan itu sudah lama dinantikan penduduk namun dalam masa sama tetap akur dengan apa juga arahan dan keputusan kerajaan demi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan.

"Penduduk perlu menganggap pematuhan PKPD sebagai pengorbanan supaya mereka dapat menjalani kehidupan harian yang kembali normal.

"Dalam masa sama, kami amat berterima kasih kepada pihak yang bertungkus lumus siang dan malam bagi memastikan PKPD dipatuhi serta pihak yang menghantar bekalan makanan," katanya.

Pada 26 Mac lalu, Ismail Sabri mengumumkan, dua kawasan penduduk di Simpang Renggam itu menjadi lokasi pertama dikenakan PKPD selepas 61 penduduknya dikesan positif Covid-19.

Perintah PKPD membabitkan lebih 3,570 penduduk tempatan terdiri daripada hampir 700 keluarga di dua kampung berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 5:48pm
    d