mutakhir

Kena kompaun, gagal pamer tanda harga

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENGURUS pasar mini warga Pakistan dikompaun RM1,000 selepas gagal mempamerkan tanda harga gula dan minyak masak di premis terbabit di Sungai Karangan, Padang Serai, Kulim, hari ini.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Kulim pada 11.30 pagi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Cawangan Kulim, Mohd Fazly Edros berkata, lelaki berusia 30-an itu dikenakan tindakan mengikut Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 720 paket gula kasar satu kilogram dan 140 paket minyak masak satu kilogram tidak diletakkan tanda harga.

"Berikutan itu, kita mengeluarkan kompaun ke atas peniaga terbabit kerana gagal mempamerkan tanda harga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fazly berkata, peniaga perlu menjalankan perniagaan lebih beretika terutama sepanjang Ramadan ketika negara masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati tidak mematuhi peraturan mengikut Akta KPDNHEP.

"Sejak 1 Januari hingga 26 April lalu, sebanyak 2,932 premis perniagaan diperiksa sekitar daerah Kulim dan Bandar Baharu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 48 tindakan undang-undang diambil membabitkan nilai rampasan berjumlah RM11,497.85 dan nilai kompaun sebanyak RM14,500," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 6:34pm
    d