mutakhir

Klinik veterinar perlu patuh syarat

Oleh Mohd Amin Jalil

KERAJAAN Negeri Sembilan memberikan kelonggaran dengan membenarkan klinik veterinar beroperasi ketika baki fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan memasuki fasa keempat mulai 29 April hingga 12 Mei ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik, berkata berikutan perlanjutan tempoh PKP yang ditetapkan kerajaan Persekutuan, beberapa sektor ekonomi terpilih akan dibuka semula secara berperingkat dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Menurutnya antara sektor yang dibenarkan adalah klinik veterinar bagaimanapun pengusaha klinik berkenaan perlu mematuhi beberapa syarat tertentu yang ditetapkan sebagai langkah memastikan usaha menyekat penularan wabak Covid-19 tercapai dan tiada kluster baharu wujud.

"Ia hanya boleh dibuka kepada pelanggan yang sudah membuat temujanji terlebih dahulu. Pengusaha klinik haiwan itu juga perlu memastikan waktu temu janji dijarakkan dan tiada pertindihan temu janji untuk mengelakkan terlalu ramai pelanggan pada satu-satu masa.

"Selain itu, pengusaha dan pelanggan klinik haiwan juga perlu sentiasa mematuhi amalan tatacara kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Razali berkata, semua pasar awam di Negeri Sembilan ketika ini dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 tengah hari iaitu kekal sepertimana yang ditetapkan sebelum ini.

Menurutnya, pengangkutan awam pula dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 pagi dan 4 petang hingga 10 malam.

"Ini sebahagian daripada penambahbaikan tatacara sempena PKP yang terpakai bagi baki PKP fasa ketiga dan keempat serta PKP seterusnya sekiranya ada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 8:31pm
    d