mutakhir

Jalan kaki nak balik Kelantan

Oleh Redzuan Muharam

"SAYA nekad pulang ke kampung semalam kerana sudah kehabisan wang untuk meneruskan hidup di Shah Alam," kata Muhamad Noor Ramlee.

Muhamad Noor, 29, memberi reaksi itu ketika ditanya tujuannya berjalan kaki pulang ke kampung halamannya di Tanah Merah, Kelantan.

Kisah itu mendapat perhatian selepas Muhamad Noor berkongsi pengalamannya berjalan kaki menerusi hantaran dan aplikasi Live di Facebook (FB), hari ini.

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata, dia bekerja sebagai tukang masak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Shah Alam serta tinggal di asrama disediakan majikan di Seksyen 7.

Namun, dia mengambil keputusan pulang kerana tidak mampu menyara diri dan nekad ke Terminal Bas Bersepadu Selatan (TBS), semalam, berbekalkan wang RM100 yang ada disimpannya.

"Sebaik tiba di TBS, saya dimaklumkan tiada tiket bas menghala ke Pantai Timur dijual dan ikutkan mahu bermalam di terminal saja tetapi tidak dibenarkan pihak pengurusan.

"Jadi, saya ambil keputusan membeli tiket bas ke Gopeng, Perak dan bertolak jam 6 petang sebelum tiba jam 9 malam.

"Namun, saya hanya memulakan perjalanan pulang ke kampung dengan berjalan kaki pada jam 7 pagi tadi bermula dari Pusat Transformasi Luar Bandar Gopeng, Ipoh," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Berkongsi pengalaman, Muhamad Noor berkata, dia cuba menahan kenderaan termasuk lori untuk mendapatkan bantuan pulang ke kampungnya.

Bagaimanapun, katanya, tiada yang berhenti untuk menumpangkannya.

Malah, Muhamad Noor berkata, keluarga terutama isterinya, Siti Noor Fateng Sefeai hanya mengetahui tindakannya itu selepas dia memuat naik hantaran dan berkongsi pengalaman di FB.

"Mulanya isteri tidak tahu tetapi dia ada menghubungi saya selepas menonton siaran 'Live' di FB kerana risau.

"Saya cuba menahan kenderaan tetapi tiada satu pun yang berhenti mungkin kerana mereka takut untuk menumpangkan saya.

"Walaupun lapar dan dahaga, saya cuba bertahan untuk berpuasa tetapi akhirnya terpaksa berbuka dengan minum air tengah hari tadi," katanya.

Menurutnya, dia berdepan dua sekatan jalan raya di Gopeng dan Ipoh namun tidak dikenakan tindakan.

"Setibanya di Gerik, ada sebuah lori berhenti dan mujurlah pemandunya sudi menumpangkan saya dan kami menyambung perjalanan selepas waktu berbuka tadi.

"Diharap saya dapat tiba di rumah malam ini.

"Ini kali pertama saya jalan kaki sejauh ini dan tidak sangka kisah ini mendapat perhatian ramai," katanya.

Sementara itu, isterinya, Siti Noor Fateng ketika dihubungi berkata, dia tidak tahu suaminya nekad berjalan kaki sehingga melihat hantaran dan video di FB.

"Masa dapat tahu saya terus hubungi dia untuk mengetahui keadaan sebenar.

"Kemudian kami sekeluarga terus ke balai polis untuk memohon surat pelepasan bagi mengambilnya di Gerik.

"Namun, kami tidak mendapat keizinan dan pasrah, cuma berharap dia pulang dalam keadaan selamat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 27, 2020 @ 9:37pm
    d