mutakhir

Jual 1,000 murtabak sehari

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PENGUSAHA murtabak di Kampung Kadok, di Kota Bharu, memperoleh pendapatan berlipat kali ganda sepanjang Ramadan apabila mampu menjual kira-kira 1,000 biji murtabak sehari.

Ahmad Rais Fikri Rosli, 27, berkata, pada hari biasa, hanya 400 biji murtabak sahaja yang dijual kepada penduduk setempat selain turut dijual secara sejuk beku bagi memenuhi tempahan pelanggan dari luar Kelantan, malah pernah 'diterbangkan' ke Singapura, Dubai dan Makkah.

Katanya, pada Ramadan, permintaan murtabak yang dijual meningkat lebih dua kali ganda berbanding hari biasa dan keadaan itu menyebabkan dia dan ahli keluarganya yang lain tidak menang tangan untuk membuatnya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setiap hari, kami mampu menjual kira-kira 1,000 biji murtabak bermula 3 hingga 5 petang dengan anggaran pendapatan sebanyak RM4,000.

"Kebiasaannya orang ramai datang kira-kira 12 tengah hari selepas waktu bekerja dan mereka sanggup beratur panjang asalkan dapat merasai murtabak ini untuk juadah berbuka puasa.

"Alhamdulillah, murtabak kami dikenali sebagai 'Murtabak Kadok' kerana bersempena dengan nama Kampung Kadok dan ia sering menjadi tumpuan bukan sahaja pada hari biasa, malah setiap kali menjelang Ramadan," katanya ketika ditemui di kedai Murtabak Kadok, di Kampung Kadok di Kota Bharu, semalam.

Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggan, pada setiap hari, mereka akan menggunakan 10 kilogram (kg) ayam, 10 kg daging dan lebih 2,000 biji telur untuk dibuat inti murtabak dan dimasak pada sebelah malam bagi mengelakkan kekalutan pada keesokan hari.

"Ramuan yang digunakan untuk membuat inti murtabak ini juga menggunakan resipi yang dibuat sendiri oleh ibu saya, Kamisah Ab Majid, 51, sejak 25 tahun lalu dan kami tidak mengubahnya bagi mengekalkan rasa aslinya," katanya yang turut dibantu 13 pekerja dalam kalangan ahli keluarga sendiri saudara-mara.

Katanya, walaupun harga barangan meningkat terutamanya bawang besar yang digunakan untuk membuat inti, dia masih menjual murtabak dengan harga sama iaitu RM5 sekeping bagi murtabak daging dan ayam supaya tidak membebankan orang ramai.

"Selain murtabak daging dan ayam, saya juga menjual murtabak cheese dengan harga RM8 sekeping, manakala murtabak pisang kismis dan murtabak udang masing-masing berharga RM7 dan ia juga mendapat sambutan kerana ada penggemarnya tersendiri.

"Bagi memenuhi tempahan pelanggan dalam tempoh PKP, saya turut menggunakan khidmat enam orang penghantar makanan yang juga dalam kalangan ahli keluarga untuk membuat penghantaran terus kepada pelanggan di sekitar Kota Bharu, Tumpat, dan Machang dengan caj yang dikenakan antara RM3 hingga RM7," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 28, 2020 @ 9:25am
    d